Sunday, August 8, 2010

Ulasan kajian tindakan

Check out this SlideShare Presentation:

Model Social Situation

http://www.google.com/imgres?imgurl=http://www.enquirylearning.net/ELU/Issues/Research/Res1Ch4A.GIF&imgrefurl=http://www.enquirylearning.net/ELU/Issues/Research/Res1Ch4.html&usg=__JoR_iuu7D_Tp6itMtWq5fkze4Fk=&h=458&w=491&sz=7&hl=ms&start=20&itbs=1&tbnid=isbQvF7tFxQSgM:&tbnh=121&tbnw=130&prev=/images%3Fq%3Daction%2Bresearch%26start%3D18%26hl%3Dms%26sa%3DN%26gbv%3D2%26ndsp%3D18%26tbs%3Disch:1

Ulasan Kajian Tindakan

Kajian tindakan ini bertajuk meningkatkan kemahiran membezakan perkara rukun dengan perkara sunat dalam solat melalui pendekatan permainan monopoli yang telah dijalankan oleh Cikgu Norhaya Ishak, Cikgu Tuan Rozaini Tuan Rani, Cikgu Norazman Mohaimin dan Cikgu Rokiah Mohamed dari SK Seri Machap, Kluang, Johor. Kami mendapat tajuk kajian ini melalui Jurnal Kajian Tindakan Negeri Johor 2006 iaitu di Laman Web www.arjpnj.com/ktindak/files/rukunsolat.pdf.

Jurnal ini membincangkan berkenaan dengan kajian yang dijalankan oleh beberapa orang guru bagi matapelajaran Pedidikan Islam. Tujuan utama kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui sejauh mana murid tahun 4 Bijak dapat membezakan antara perkara rukun dengan perkara sunat dalam solat. Kemahiran memahami dan menghafal perkara-perkara rukun dalam solat dianggap sangat penting bagi memastikan para pelajar dapat mengamalkan solat yang betul dan berkualiti memandangkan solat merupakan ibadah penting yang wajib dilaksanakan oleh seorang muslim dalam kehidupan . Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab seorang muslim itu memelihara ibadah solat dengan baik. Seramai lima orang murid telah dipilih sebagai responden kajian.

Model Social Situation


Dalam kajian ini, Model Social Situation telah dipilih bagi menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan dengan kajian yang telah dijalankan. Merujuk kepada model tersebut, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti masalah yang wujud dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas di sekolah. Jurnal yang dipilih telah merungkai masalah berkenaan dengan murid yang tidak dapat membezakan antara perkara rukun dan perkara sunat dalam solat. Masalah tersebut dapat dikesan melalui tinjauan awal yang dilakukan seperti pemerhatian, temubual, soal selidik, kerja rumah dan ujian-pra.

Melalui tinjauan awal yang dilakukan, semua data yang diperolehi, dikumpul untuk dianalisis. Data dikumpul melalui pemerhatian yang dilakukan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Pemerhatian dilakukan melalui gerak laku serta maklum balas yang diberikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu, pemeriksaan buku tulis, kerja rumah dan ujian-pra turut dilakukan bagi mengumpul data yang dimaksudkan. Kaedah seterusnya adalah melalui temubual yang dijalankan ke atas para responden secara tidak formal. Kaedah ini, secara tidak langsung dapat merungkai punca sebenar masalah murid yang tidak dapat membezakan antara perkara rukun dan perkara sunat di dalam solat. Selain itu, borang soal selidik juga turut diedarkan kepada murid di mana borang tersebut mengandungi beberapa soalan yang berkaitan. Ia bertujuan untuk mengetahui sebab-sebab mengapa murid tidak dapat menguasai kemahiran dalam membezakan antara dua perkara yang dimaksudkan. Kaedah pengumpulan data yang terakhir adalah melalui ujian-pra yang dijalankan ke atas murid-murid di mana mereka akan diuji dalam tajuk “ membezakan antara perkara rukun dan sunat dalam solat”. Ujian ini akan menguji sejauh mana tahap kefahaman mereka mengenai tajuk tersebut.

Setelah data selesai dikumpul, analisa ke atas data-data tersebut dilakukan bagi mengetahui punca sebenar masalah tersebut disamping mencari penyelesaian ke atas permasalahan tersebut.

Setelah masalah berjaya dikenalpasti, langkah seterusnya adalah merancang pelan tindakan yang akan dilakukan di mana idea-idea yang berkaitan dijana bagi menambahbaik masalah yang timbul. Dalam kajian ini, terdapat empat aktiviti telah dirancang bagi membantu kumpulan sasaran ini meningkatkan kemahiran mereka dalam membezakan perkara rukun dan perkara sunat dalam solat. Aktiviti-aktiviti tersebut melibatkan pendekatan belajar dan bermain dalam satu masa. Pendekatan ini dipilih kerana ia dirasakan amat bersesuaian dengan peringkat umur murid-murid ini. Pada peringkat umur sebegini, murid-murid lebih berminat dengan aktiviti berbentuk permainan. Dengan cara tersebut, murid-murid ini akan lebih mudah memahami setiap apa yang diajar dan disampaikan oleh guru. Oleh yang demikian, satu permainan telah diperkenalkan iaitu Monopoli Solat. Permainan ini dicipta dengan tujuan untuk menarik minat dan mendorong murid-murid bermain permainan tersebut disamping dapat merangsang minda mereka untuk berfikir. Melalui permainan tersebut, murid-murid diuji di mana mereka perlu memahami dan menghafal perkara rukun dan perkara sunat dalam solat untuk memenangi permainan tersebut. Di samping itu, murid-murid juga dapat menerapkan sikap berlumba-lumba dan setiakawan semasa bermain permainan tersebut. Mereka akan berusaha untuk memenangi permainan tersebut.

Setelah pelan tindakan selesai dirancang, pelan tindakan tersebut dilaksanakan. Semua langkah-langkah yang berkaitan bagi keempat-empat aktiviti dilaksanakan mengikut peraturan dan syarat yang telah ditetapkan. Pemerhatian dan refleksi dijalankan ke atas setiap aktiviti bagi mengenalpasti tindak balas/ maklum balas yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti tersebut.

Setelah maklumbalas diperolehi, proses seterusnya adalah mengumpul data untuk mengesahkan perubahan. Merujuk kepada kajian yang dijalankan, pengkaji menjalankan ujian pos sebagai penilaian akhir bagi mengesan keberkesanan kaedah dan aktiviti yang telah dijalankan. Keputusan yang diperolehi adalah positif di mana semua murid telah berjaya menjawab semua soalan dengan tepat. Ini menunjukkan tindak balas yang sangat memberangsangkan. Ia merujuk kepada perbezaan yang dapat dilihat melalui keputusan dua jenis ujian yang dijalankan yakni ujian pra (sebelum) dan pos (selepas) yang telah dijalankan. Berdasarkan kepada maklumat tersebut, berlakunya satu peningkatan yang cukup baik ke atas prestasi murid di mana mereka kini lebih memahami serta dapat membezakan diantara perkara rukun dan perkara sunat dalam solat, hasil daripada kajian tindakan yang telah dijalankan. Hasil dapatan kajian ini memberi kesan kepada murid-murid di mana mereka lebih yakin bahawa subjek Pendidikan Islam ini bukanlah satu subjek yang membosankan sebaliknya subjek yang sangat penting kerana ilmu serta amalan yang dipelajari dan dipraktikkan perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang muslim.

Kesimpulannya, proses dalam model yang diterangkan ini akan terus berlaku sekiranya sesuatu masalah dikenalpasti. Proses penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang timbul. Inilah tujuan utama sesuatu kajian tindakan dilakukan. Tetapi tidak semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Dengan adanya kajian tindakan ini, kita akan dapat membendung sesuatu masalah daripada terus berleluasa. Sebagai contoh, kajian yang dilakukan bagi tajuk di atas sangat penting kerana ia melibatkan tanggungjawab seseorang muslim dalam hidup mereka. Sekiranya murid-murid ini terus dibiarkan, sudah pasti mereka ini akan terus hanyut dengan pemahaman mereka yang kurang tepat tersebut. Mereka ini seharusnya dibentuk pada peringkat umur sebegini sebelum terlambat. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa kajian yang dilakukan oleh guru-guru ini sangatlah berguna bukan sahaja untuk murid-murid di sekolah tersebut malah dapatan kajian ini perlu dikongsi dengan sekolah-sekolah yang lain kerana perlaksanaan kajian yang dilakukan sangat menarik dan sangat sesuai dipraktikkan oleh guru-guru bagi subjek pendidikan islamyang lain.